Halaman

Sabtu, 7 Mei 2016

NAMA PANGGILAN

Entri 8
Teks : Siti Rabiatul Adawiyah bt Ismail

Assalamualaikum WBT

Haaaa kali ni buat tajuk Nama Panggilan pulak. Rasanya tak dak sorang pun yang tak dak nama manja ni kan hihi. Pulak zaman millenia ni zaman mak pak suka buh nama anak panjang-panjang sampai berbelit lidah nak sebut. Buh nama panjang-panjang se hal, mula lah pening nak pilih nama panggil anak-anak. Kat situ lah keluar pulak nama pelik-pelik. haha.

Kat sini saya tak nak lah cerita pasal nama orang lain, cukup dah nama saya sendiri haha. Nama tak delah panjang sangat dan senang je nak ingat. Nama yang diberi oleh abah dan ummi saya pada saya adalah Siti Rabiatul Adawiyah. Nak tahu tak maksud apa?Pada yang tak tahu maksud nama saya ni, nama Rabiatul Adawiyah ni adalah nama seorang wanita yang kuat beribadat kepada Allah SWT pada zaman dahulu. Rabiatul atau rabiah diberi kerana beliau merupakan anak ke empat dalam keluarga Ismail al-Adawi. Dan nama Adawiyah tak silap sayalah nama keluarga beliau.(kena cek balik).

Berbalik pada tajuk entri ni pulak. Saya mempunyai beberapa nama panggilan tau. Ceh macam bangga pulak haha(tak bangga sebenarnya). Nama manja pilihan atuk dan arwah nenek saya, mereka suka panggil saya Tayah. Sebab masa saya kecik, saya suruh panggil Tayah. Bila sekolah, saya malu dengar arwah nenek panggil Tayah haha. Adoi, rindu pulak dengar arwah panggil. Sebab sekarang tak de dah orang nak panggil dengan panggilan Tayah. Rindu mok(panggilan saya pada arwah nenek).

Sedara mara dan keluarga panggil dengan nama Kak Yah. Sebab saya anak sulong dalam keluarga. Pastu masa sekolah rendah, saya lebih dikenali dengan panggilan Rabiatul je. Cewah ayu dan sopan hihi. Masuk je sekolah menengah, ambik ko, glamer dengan panggilan Ruby. Fewiit haha. Biasalah dah remaja nak jugak glam kan hahaha.

Ingatkan nak setia dengan panggilan Ruby je, tapi ada kawan pernah nasihat saya lebih baik tukar panggilan lain sebab Ruby tiada makna. Dia cakap lebih baik orang panggil kita biarlah yang membawa maksud yang bagus untuk kita. Ada benar juga nasihat dia. Jadi, bila masuk universiti je, saya dikenali sebagai Siti. Ada kawan seuniversiti saya pening bila dia tahu banyak sangat nama pendek saya (hehehehe). Dia sorang pulak yang reka nama saya, boleh pulak panggil saya Biah hahaha. Nasiblah nama tu tak laku kat kawan-kawan yang lain. Hehehe.

Dan sampai sekarang dah kerja memang setia lah dengan nama Siti. Hehe. Fuh penat bercerita pasal nama ni. Korang acaner ye? Mesti lagi best dari saya punya cerita kan ahaks.

Sekian.
Assalamualaikum WBT

Khamis, 5 Mei 2016

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Entri 7
Teks : Siti Rabiatul Adawiyah Binti Ismail
Sumber : https://shafiqolbu.wordpress.com

Assalamualaikum WBT

Hari ini merupakan Hari Israk dan Mikraj. Pada hari ni umat Islam digalakkan berpuasa sunat. Masa kecik -kecik dulu, ustazah kat sekolah suka bercerita tentang hari Israk dan Mikraj ini. Best tau bila dengar peristiwa Nabi Muhammad SAW dibawa ke langit dengan menaiki Buroq. Rindu zaman sekolah tau sebab selalu dihidupkan dengan kisah-kisah sejarah hebat ini. Terima kasih cikgu-cikgu.

Dah dewasa ni, faham-faham jelah sape yang nak cerita lagi kat kita kalu kita sendiri tak pergi cari ( pergi kuliah dan sebagainya). Haa tambah pulak sibuk dengan anak tak sempat nak pergi. Jangan risau lah sekarang ni zaman serba canggih. Guna alat-alat canggih ni untuk dapatkan ilmu.Hehehe.

Asbab nak tambah pengetahuan berkenaan peristiwa penting dalam sejarah Islam, saya jumpa kisah ni kat pakcik google. Agak menarik tau diskusinya. Saya memang suka kalau nak cari bab-bab penceritaan tentang agama kat sini ( sumber dari blog shafiqolbu.wordpess.com ) . Jadinya saya kongsikan apa yang beliau kongsikan d bawah ni.

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ
sumber dari blog shafiqolbu.wordpress.com

Pada tarikh 27 Rejab setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari Mekkah ke Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah ﷺ bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa:

Israk yakni perjalanan Nabi Muhammad ﷺ menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammadﷺ ini telah diabadikan oleh Allah سبحانه وتعالى di dalam Al-Quran:
Firman Allah سبحانه وتعالى:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

.

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah ﷺ hanya berlangsung pada satu malam. Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda ﷺ sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi Muhammadﷺ bukannya roh sahaja.

Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah سبحانه وتعالى menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.

Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi Muhammadﷺ dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah Rasulullah ﷺ menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan Baginda ﷺ. Fitnah terhadap Baginda ﷺ bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan Baginda ﷺ, maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ lalu beliau dengan tegas menyatakan :

“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah ﷺ. Jika baginda ﷺ mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”

Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Nabi Muhammad ﷺ berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

.

.

A. Sebelum Israk dan Mikraj

.

Sebelum melalui kejadian Israk dan Mikraj, Nabi Muhammadﷺ mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda ﷺ dicuci dengan air zam-zam serta dibuang ketulan hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was²nya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah ﷺ. Setelah itu, dada Baginda ﷺ dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.

Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama “Buraq” untuk ditunggangi oleh Rasulullah ﷺ dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

.

.

B. Semasa Israk

(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

.

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Nabi Muhammad ﷺdiiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat² tertentu (tempat² yang mulia dan bersejarah), Rasulullah ﷺ telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat.

Di antara tempat² berkenaan adalah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah ﷺ akan melakukan hijrah.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى;
Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan);
.

.

Peristiwa Ajaib

.

Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad ﷺ menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa² simbolik yang amat ajaib.

Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

.

Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah ﷺ dibertahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
Tempat yang berbau harum. Rasulullah ﷺ diberitahu oleh Jibrail : “Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak²nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah سبحانه وتعالى  (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).”
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah ﷺ: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : “Itulah orang² yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing² mempunyai isteri / suami.”
Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba`.”
Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”
Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.”
Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.”
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah ﷺ tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika Rasulullah ﷺ memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah ﷺ berhenti. Rasulullah ﷺtidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”
Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah ﷺ untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ﷺ turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Nabi Muhammad ﷺ terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah ﷺ memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: “Baginda ﷺ membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”

.

.

C.  Semasa Mikraj

(Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah سبحانه وتعالى):

.

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi Muhammad h ﷺ dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

.

Di Tangga Pertama:
Nabi Muhammad ﷺ dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang² yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

.

Di Tangga Kedua:
Nabi Muhammad ﷺ. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

.

Di Tangga Ketiga:
Naik langit ketiga. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

.

Di Tangga Keempat:
Naik tangga langit keempat. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Idris A.S.

.

Di Tangga Kelima:
Naik tangga langit kelima. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

.

Di Tangga Keenam:
Naik tangga langit keenam. Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Nabi². Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah ﷺ mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

.

Di Tangga Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah ﷺ.

Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumapa dengan Allah سبحانه وتعالى pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:

“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:

“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”

Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah ﷺ dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul² di atas Baitullah di Mekah).

.

Di Tangga Kelapan:
Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺ menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun², batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata² yang indah. Unggas² emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda ﷺ dapat menyaksikan juga sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

.

Di Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺmasuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

.

10.  Di Tangga Kesepuluh:

Rasulullah ﷺ sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah سبحانه وتعالى dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah سبحانه وتعالى dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah سبحانه وتعالى: “Ya Muhammad!”

Nabi Muhammad ﷺ: “Labbaika.”

Allah سبحانه وتعالى: “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”

Nabi Muhammad ﷺ : “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan dia kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”

Allah سبحانه وتعالى: “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji² Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”

.

.

D. Selesai Munajat

.

Selepas selesai munajat, Nabi Muhammad ﷺ di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah ﷺ merayu kepada Allah سبحانه وتعالى agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah سبحانه وتعالى perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

.

.

E. Selepas Mikraj

.

Nabi Muhammad ﷺ turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

.

.

Penutup

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah سبحانه وتعالى dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang² kafir di zaman Nabi ﷺ langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad ﷺ sebaik Baginda  bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه وتعالى telah menunjukkan bukti² kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda  ﷺ.

.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Semoga kita sama-sama.mendapat teladan dan ikhtibar dari kisah yang sangat penting dalam sejarah islam ya.
Sekian.

Assalamualaikum WBT

Selasa, 3 Mei 2016

BELAJAR MENJAHIT

Entri 6
Teks : Siti Rabiatul Adawiyah Binti Ismail

Assalamualaikum WBT

Ingat tak saya pernah bagitahu yang saya nak mengeluarkan sendiri seluar palazzo ? Haa sebab memandangkan sekarang ramai tukang jahit dah tak ambil tempahan banyak sebab fokus pada baju raya. Jadi kami hold dulu. Saya fokus dulu pada dropship seluar palazzo by SR.

Saya ni dah lama belajar menjahit sendiri. Tapi kan tak pandai-pandai :-D . Tulah sebab orang kena belajar kena ada guru. Kan kan. Tapi gak nak buat cam mana, anak-anak nak tinggal mana hehe. Memang boleh bawak tapi saya jenis tak boleh fokus kalau ada anak sebelah. Jadi, saya ambik keputusan belajar secara online.

Baru-baru ni saya masuk kelas online kelas memola. Boleh lah faham dah sikit-sikit. Cuma tak sempat lagi nak buat baju sendiri haha (sibuk sangatlah konon nye). Kan minat sangat dengan seluar palazzo, senang je rupanya nak buat ha (mentang-mentang dah faham kan :-) .

Saya ni banyak lagi lah kena belajar. Sebab salah satu cita-cita nak ambil tempahan menjahit bila dah pindah kat rumah sendiri nanti(nanti saya cerita pasal rumah baru kami ye). Biasalah kan,otak banyak sangat fikir jalan nak cari duit lebih. Dah terbiasa pegang duit sendiri, bila dah berenti kerja memang camtu lah. Lagi pun suami bagi galakan. Dia tahu isteri dia ni macam mana hahaha.

Oklah, dah dekat nak maghrib ni. Saya behenti dulu berceloteh untuk hari ini. Esok lusa insyaAllah kita sambung lagi. Banyak lagi nak bercerita ni haha ( maklumlah dah lama menyepi ). Lagi pulak nak disiplinkan diri nak tulis sehari satu entri. Terima kasih Cikgu Anys Idayu bagi semangat saya untuk menulis sebab biasalah semangat saya turun naik. Tulah nasib baik ada guru. Walaupun anak muridnya ni muncul macam tak nak muncul je, cikgu sentiasa bagi galakan dan kata-kata nasihat. Hehe. Ok lah, sekian ya untuk hari ini.

REZEKI

Entri 5
Teks : Siti Rabiatul Adawiyah Binti Ismail

Assalamualaikum WBT

Apa maksud rezeki?Berapa ramai antara kita faham erti rezeki? Rata-rata saya jumpa ramai antara kita yang mendefinisikan rezeki itu hanya duit semata. Tiada duit, tiada rezeki. Tiada harta, tiada rezeki. Tiada kerja, tiada rezeki. Oh, betapa kolotnya pemikiran tersebut.

Saya bukan orang yang pandai pun dalam bab-bab ni tapi saya terpanggil untuk menulis bab rezeki sebab kadang-kadang saya pun berasa begitu. Bukan nak merendahkan sesiapa cuma untuk muhasabah diri ini. Menguatkan hati yang cepat rapuh ini. Semoga Allah SWT mengampuni kami.

Okay, sebenarnya rezeki yang dikurniakan Allah tersangat-sangat luas.
Contoh seharian dalam kehidupan kita :
» Bangun tidur, masih bernafas,baca doa tidur, dapat tengok jam, masih dapat tengok anak dan suami/isteri di sebelah, kucup mereka dan ucap selamat pagi , dapat bangun dari katil = rezeki permulaan hari.
» Berjalan ke tandas, mandi, bersihkan diri, ambil wudhuk, solat subuh = rezeki
» Menyiapkan sarapan, mengemas rumah, sarapan pagi, menguruskan rumah dan anak serta suami/isteri =rezeki
» Sihat, dapat melakukan tugas seharian samada di pejabat atau di rumah, dapat mencari duit,memiliki hati yang tenang dan sentiasa bersyukur, memiliki anak-anak yang baik dan soleh, memiliki pasangan hidup yang baik, memiliki ayah dan ibu = rezeki
» Ada kereta, ada rumah , ada duit, ada kesihatan yang baik, ada pekerjaan, dapat makan dengan sempurna, tidur dengan sempurna = rezeki

Oh tak terkira rezeki yang kita dapat. Nikmat kehidupan yang kita ada. Kalau boleh semua benda saya nak tulis tapi penat nak taip hihi. Dapat menulis pun satu rezeki. Bersyukurlah seadanya. Bersyukurlah, milikilah kehidupan ini dengan syukur dan redha dengan setiap yang kita ada sekarang. Berusahalah untuk berjaya. Rezeki milik Allah, semua yang kita ada ini hanyalah pinjaman. Redhalah jika ditimpa ujian. Dekatkanlah diri dengan Allah.
Jaga solat kita, jaga aurat kita, jaga hubungan kita dengan pasangan, dengan mak ayah. InsyaAllah pasti kita akan tenang dan bahagia.

Nikmat  Allah yang manakah yang kamu dustakan?

Sekian.

Isnin, 28 Mac 2016

TERJEBAK DALAM DUNIA DROPSHIP

Entri 4

Teks: Siti Rabiatul Adawiyah bt Ismail

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, Allah bagi idea untuk menulis lagi. Syukur sangat. Kali ni saya nak berkongsi pula mengenai pengalaman bisnes kecil-kecilan saya sekarang.

Saya pernah bercerita tentang kedai seluar palazzo saya tetapi saya tidak dapat meneruskan kerana masalah stok. Jadi, bagi mengisi masa yang ada, saya menjebakkan diri dalam dunia dropship. Saya merasakan inilah peluang untuk asah kembali bakat berniaga saya. Haha walaupun saya ni bukanlah berbakat sangat. Sekarang memang cukup mudah untuk mencari peluang berniaga kerana di luar sana, pelbagai produk yang boleh kita ceburi tau.

Okey, berbalik dengan dropship saya.Saya kan memang suka sangat dengan seluar palazzo, jadi saya telah daftar sebagai dropship palazzo muslimah SR. Alhamdulillah bulan pertama tu boleh lah lepas buat belanja sikit hehe. Tapi sebab saya rasa macam dah lama tak bagi hadiah pada ummi saya, komisen bulan pertama tu saya hadiahkan ummi saya sandal. Alhamdulillah, bersyukur sangat walaupun tak kerja dapat juga gembirakan hati ibu sekali sekala kan :-D

Selepas itu, saya rasa saya ingin pelbagaikan produk niaga saya. Jadi, saya daftar dropship untuk blouse dan dress. Cuma, permintaan blouse dan dress agak slow je. Mungkin terlampau banyak dan saya rasa saya belum cukup mampu untuk pelbagaikan produk lagi. Baik saya tumpu untuk satu produk saja iaitu palazzo ni.

Dan alhamdulillah, saya dan suami dalam proses untuk keluarkan sendiri seluar palazzo jenama kami sendiri dan ianya masih dalam pembaikian. Saya pun masih banyak lagi perlu saya pelajari dalam dunia perniagaan ini. InsyaAllah,semoga urusan kami dipermudahkan oleh Yang Maha Esa. Amin. Doakan kami ye :-)

Sekian dari saya.

Isnin, 21 Mac 2016

HUBUNGAN JARAK JAUH SUAMI ISTERI

Entri 3

Teks: Siti Rabiatul Adawiyah Bt Ismail

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah,dengan izin Allah SWT, saya berpeluang untuk merasai pengalaman pahit manis hubungan jarak jauh bersama suami. Saya dan suami berkahwin di usia 26 tahun,di mana pada awal perkahwinan kami, suami tinggal di Dungun, Terengganu manakala saya di Kemaman, Terengganu. Masing-masing tinggal di kediaman sewa syarikat bersama kawan-kawan.

Sekali seminggu kami akan berjumpa. Perjalanan suami ke tempat saya mengambil masa lebih kurang 2 jam, dan ke kampung kami di Kuala Terengganu mengambil masa selama 3 jam. Kebetulan saya bunting pelamin, jadi suami memang terpaksa ambil saya terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung. Kadang-kadang kami hanya tinggal di hotel di Kemaman. Jika balik ke kampung, seawal pukul 4pagi kami terpaksa bertolak pulang ke Kemaman dan ini amat memenatkan. Apabila dikenang sekarang, terasa satu pengalaman yang cukup indah buat kami.

Walaupun berjauhan dengan suami, Allah kurniakan saya kawan-kawan serumah dan sekerja yang sangat memahami diri ini. Merekalah yang menjaga saya. Berkongsi suka dan duka dengan saya. Banyak memberi semangat kepada saya. Alhamdulillah walaupun hamil, saya tiada masalah kesihatan yang serius dan boleh membawa diri dan berdikari.

Selepas saya melahirkan anak, pada mulanya saya mahu berhenti kerja dan tinggal di kampung saja. Tetapi rezeki saya masih ada, majikan saya bersetuju menempatkan saya di projek perumahan yang hanya 30 minit dari kampung saya. Dan ya,saya dan suami masih lagi berjauhan. Beberapa bulan kemudian, suami dihantar ke Puchong untuk projek di sana pula. Semasa suami di Puchong, kami hanya berjumpa 2 minggu sekali sahaja. Ya betul,saya menunggu saat saja untuk saya berhenti kerja dan tinggal bersama suami. Sebab bagi saya, kerjaya boleh dicari. Keluarga mesti diutamakan. Saya sedih melihat anak sulong yang selalu rindukan papanya.

Memang pengalaman jarak jauh ini perlukan kekuatan, kepercayaan serta kejujuran dengan pasangan dan banyak lagi perkara yang tidak dapat digambarkan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berpindah di tempat suami. Dan akhirnya kami berpindah. Betapa bersyukurnya saya kerana dapat juga merasa kehidupan dan melakukan tugas sebagai isteri setiap hari. Setahun kami tinggal bersama di Puchong, suami pula dihantar ke projek Gambang, Kuantan. Beginilah lumrah isteri seorang jurutera projek yang memang sedar bahawa tempat kerja suami sentiasa berubah dan saya memang kena sentiasa bersedia.

Memandangkan Gambang dan Kuala Terengganu hanya mengambil masa selama 2 jam saja, jadi kami tidak tinggal bersama. Saya dan anak-anak tinggal di kampung. Lagipun kami telah membeli sebuah rumah di Marang, Terengganu. Dan saya pula sekarang tidak bekerja dan boleh menjaga anak-anak sepenuh masa. Lagipun sekarang suami dapat pulang seminggu sekali.

Harapan saya, saya berharap juga yang suami dapat bekerja di kampung halaman dan kami dapat tinggal bersama lagi. Kami dapat bersama-sama membesarkan anak sendiri. InshaAllah, semoga Allah makbulkan harapan ini. Amin.

Jumpa lagi di entri seterusnya. Sekian, Terima kasih.

Assalamualaikum WBT.

Isnin, 14 Mac 2016

PENGALAMAN MELAHIRKAN ANAK KEDUA

Entri 2

Teks: Siti Rabiatul Adawiyah Binti Ismail

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, setelah hampir 3 minggu tidak dapat menulis kerana laptop dan handfon yang agak selesa untuk menulis rosak. Ya Allah,baru sedikit Allah tarik nikmat, jadi bersyukurlah. Syukurlah apa yang kita ada samada sedikit ataupun banyak.

Oh ya, sebenarnya saya teringin untuk menceritakan pengalaman melahirkan anak kedua. Jadi,saya akan kongsikan di dalam entri kali ini. Pengalaman melahirkan anak pertama dan kedua sungguh berbeza. Jika dikutkan, ramai yang akan menjawab yang melahirkan anak kedua lebih mudah daripada anak pertama. Tetapi tidak bagi saya hehe. Semasa melahirkan anak pertama, alhamdulillah Allah memudahkan proses kelahiran. Tetapi semasa berpantang, saya kerap demam dan bengkak susu tidak seperti berpantang kali kedua.

Saya melahirkan anak kedua pada 19hb Disember 2015 yang dinamakan Alesha Safaira Binti Ahmad Abul Kalam. Pada hari entri ini ditulis, Alesha baru berusia 89hari. Saya mula berasa sakit sehari sebelum Alesha dilahirkan. Tanda kelahiran pada kali ini pun berbeza daripada pertama kali melahirkan si abang dulu. Kali pertama dulu, tandanya pecah air ketuban. Tapi kali ini saya keluar darah.

Saya dimasukkan ke dalam wad di Hospital Besar Nur Zahirah,Kuala Terengganu ini. Masa tu bukaan baru 2cm. Semalaman duduk di wad, saya dah tak rasa sakit pulak. Cumanya contraction je tupun tak sekerap mana. Sementara menunggu suami yang dalam perjalanan dari Gambang, saya banyak berdoa agar suami sampai sebelum saya dimasukkan ke dalam labour room.

Semalaman di wad, saya rasa tak sakit sangat. Kadang terfikir betulkah sudah sampai masa nak bersalin ni hahaha. Tak seperti masa beranak kali pertama dulu. Malam tu boleh pulak tidur dengan lenanya dan akhirnya pada pukul 5.20pagi,nurse minta saya untuk ke bilik pemeriksaan untuk cek bukaan. Terkejut saya apabila nurse beritahu yang bukaan dah 6cm! Saya tak percaya sebab saya tak rasa sakit sangat. Nurse cepat-cepat menyuruh saya bersedia untuk dihantar ke labour room. Saya terus call suami untuk tunggu di sana sebab memang nak sangat suami teman. Hehe masa kali pertama dulu,suami tak sempat teman saya dalam labor room. Jadi,kali ini nak sangat kekuatan dari suami.

Sampai kat labour room, masa tu saya boleh tersenyum lagi. Nurse dan doktor siap puji lagi saya cool je katanya. Yelah masa tu saya tak percaya dah nak bersalin kalau diikutkan dengan tak berapa sakit lagi hehe. Tapi sebaik sahaja doktor memecahkan air ketuban, masa tu barulah terasa sakit apetah lagi 3jam duduk dalam labour room untuk tunggu bukaan tapi masih 6cm. Alhamdulillah, mintak nurse panggilkan suami yang dah menunggu di luar. Nak suami ada di sisi untuk bagi kekuatan. Masa tengah sakit tu, terbayang macam mana kalau aku mati lepasni! Sedih sangat. Rasa insaf sedih sebab banyak lagi dosa. Cakap kat suami "kalau syg mati,abg jaga anak kita". Sedih sangat. Suami genggam tangan,kucup tangan bagi kekuatan.

Tiba-tiba sekumpulan doktor bergegas datang kat tempat saya. Katanya ada masalah pada jantung bayi. Memang tak boleh tunggu lama dah. Doktor cek bukaan masih lagi 6cm. Hanya Allah yang tahu perasaan saya dan suami. Hati tak putus-putus berdoa. Doktor paksa untuk teran tetapi tak berjaya. Oleh disebabkan jantung bayi semakin lemah, doktor cadangkan untuk dibedah! Terus saya setuju untuk dibedah. Sepantas kilat nurse dan doktor menolak saya ke dewan bedah. Suami tunggu di luar dewan bedah.

Alhamdulillah Allah Maha Besar. Sampai je di bilik bedah, saya terasa seperti nak meneran terus bagitahu doktor bedah. Alhamdulillah di atas katil bedah yang sempit itu, saya selamat melahirkan bayi perempuan saya dengan normal! Dan bayi saya dalam keadaan sihat alhamdulillah! Menangis saya sebaik saja mendengar suara bayi. Memang pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

Setelah disahkan ibu dan bayi tiada apa-apa masalah, kami dibawa keluar untuk ke wad. Tak sabar untuk berjumpa suami yang setia menunggu di luar. Kesian pulak suami tak dapat lihat sendiri proses kelahiran anak kami hehe. Suami kata tak apelah asalkan semuanya selamat. Hehe.

Ini kisah pengalaman saya. Banyak pengajaran yang saya dapat. Terasa macam hampir dengan kematian. Hanya Allah saja yang tahu. Ya Allah, aku bersyukur pada Mu. Masih memberi ruang untuk aku bertaubat! Alhamdulillah.

Sekian untuk kali ini. InsyaAllah berjumpa di entri seterusnya ya!

Assalamualaikum w.b.t