Halaman

Isnin, 28 Mac 2016

TERJEBAK DALAM DUNIA DROPSHIP

Entri 4

Teks: Siti Rabiatul Adawiyah bt Ismail

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, Allah bagi idea untuk menulis lagi. Syukur sangat. Kali ni saya nak berkongsi pula mengenai pengalaman bisnes kecil-kecilan saya sekarang.

Saya pernah bercerita tentang kedai seluar palazzo saya tetapi saya tidak dapat meneruskan kerana masalah stok. Jadi, bagi mengisi masa yang ada, saya menjebakkan diri dalam dunia dropship. Saya merasakan inilah peluang untuk asah kembali bakat berniaga saya. Haha walaupun saya ni bukanlah berbakat sangat. Sekarang memang cukup mudah untuk mencari peluang berniaga kerana di luar sana, pelbagai produk yang boleh kita ceburi tau.

Okey, berbalik dengan dropship saya.Saya kan memang suka sangat dengan seluar palazzo, jadi saya telah daftar sebagai dropship palazzo muslimah SR. Alhamdulillah bulan pertama tu boleh lah lepas buat belanja sikit hehe. Tapi sebab saya rasa macam dah lama tak bagi hadiah pada ummi saya, komisen bulan pertama tu saya hadiahkan ummi saya sandal. Alhamdulillah, bersyukur sangat walaupun tak kerja dapat juga gembirakan hati ibu sekali sekala kan :-D

Selepas itu, saya rasa saya ingin pelbagaikan produk niaga saya. Jadi, saya daftar dropship untuk blouse dan dress. Cuma, permintaan blouse dan dress agak slow je. Mungkin terlampau banyak dan saya rasa saya belum cukup mampu untuk pelbagaikan produk lagi. Baik saya tumpu untuk satu produk saja iaitu palazzo ni.

Dan alhamdulillah, saya dan suami dalam proses untuk keluarkan sendiri seluar palazzo jenama kami sendiri dan ianya masih dalam pembaikian. Saya pun masih banyak lagi perlu saya pelajari dalam dunia perniagaan ini. InsyaAllah,semoga urusan kami dipermudahkan oleh Yang Maha Esa. Amin. Doakan kami ye :-)

Sekian dari saya.

Isnin, 21 Mac 2016

HUBUNGAN JARAK JAUH SUAMI ISTERI

Entri 3

Teks: Siti Rabiatul Adawiyah Bt Ismail

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah,dengan izin Allah SWT, saya berpeluang untuk merasai pengalaman pahit manis hubungan jarak jauh bersama suami. Saya dan suami berkahwin di usia 26 tahun,di mana pada awal perkahwinan kami, suami tinggal di Dungun, Terengganu manakala saya di Kemaman, Terengganu. Masing-masing tinggal di kediaman sewa syarikat bersama kawan-kawan.

Sekali seminggu kami akan berjumpa. Perjalanan suami ke tempat saya mengambil masa lebih kurang 2 jam, dan ke kampung kami di Kuala Terengganu mengambil masa selama 3 jam. Kebetulan saya bunting pelamin, jadi suami memang terpaksa ambil saya terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung. Kadang-kadang kami hanya tinggal di hotel di Kemaman. Jika balik ke kampung, seawal pukul 4pagi kami terpaksa bertolak pulang ke Kemaman dan ini amat memenatkan. Apabila dikenang sekarang, terasa satu pengalaman yang cukup indah buat kami.

Walaupun berjauhan dengan suami, Allah kurniakan saya kawan-kawan serumah dan sekerja yang sangat memahami diri ini. Merekalah yang menjaga saya. Berkongsi suka dan duka dengan saya. Banyak memberi semangat kepada saya. Alhamdulillah walaupun hamil, saya tiada masalah kesihatan yang serius dan boleh membawa diri dan berdikari.

Selepas saya melahirkan anak, pada mulanya saya mahu berhenti kerja dan tinggal di kampung saja. Tetapi rezeki saya masih ada, majikan saya bersetuju menempatkan saya di projek perumahan yang hanya 30 minit dari kampung saya. Dan ya,saya dan suami masih lagi berjauhan. Beberapa bulan kemudian, suami dihantar ke Puchong untuk projek di sana pula. Semasa suami di Puchong, kami hanya berjumpa 2 minggu sekali sahaja. Ya betul,saya menunggu saat saja untuk saya berhenti kerja dan tinggal bersama suami. Sebab bagi saya, kerjaya boleh dicari. Keluarga mesti diutamakan. Saya sedih melihat anak sulong yang selalu rindukan papanya.

Memang pengalaman jarak jauh ini perlukan kekuatan, kepercayaan serta kejujuran dengan pasangan dan banyak lagi perkara yang tidak dapat digambarkan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berpindah di tempat suami. Dan akhirnya kami berpindah. Betapa bersyukurnya saya kerana dapat juga merasa kehidupan dan melakukan tugas sebagai isteri setiap hari. Setahun kami tinggal bersama di Puchong, suami pula dihantar ke projek Gambang, Kuantan. Beginilah lumrah isteri seorang jurutera projek yang memang sedar bahawa tempat kerja suami sentiasa berubah dan saya memang kena sentiasa bersedia.

Memandangkan Gambang dan Kuala Terengganu hanya mengambil masa selama 2 jam saja, jadi kami tidak tinggal bersama. Saya dan anak-anak tinggal di kampung. Lagipun kami telah membeli sebuah rumah di Marang, Terengganu. Dan saya pula sekarang tidak bekerja dan boleh menjaga anak-anak sepenuh masa. Lagipun sekarang suami dapat pulang seminggu sekali.

Harapan saya, saya berharap juga yang suami dapat bekerja di kampung halaman dan kami dapat tinggal bersama lagi. Kami dapat bersama-sama membesarkan anak sendiri. InshaAllah, semoga Allah makbulkan harapan ini. Amin.

Jumpa lagi di entri seterusnya. Sekian, Terima kasih.

Assalamualaikum WBT.

Isnin, 14 Mac 2016

PENGALAMAN MELAHIRKAN ANAK KEDUA

Entri 2

Teks: Siti Rabiatul Adawiyah Binti Ismail

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, setelah hampir 3 minggu tidak dapat menulis kerana laptop dan handfon yang agak selesa untuk menulis rosak. Ya Allah,baru sedikit Allah tarik nikmat, jadi bersyukurlah. Syukurlah apa yang kita ada samada sedikit ataupun banyak.

Oh ya, sebenarnya saya teringin untuk menceritakan pengalaman melahirkan anak kedua. Jadi,saya akan kongsikan di dalam entri kali ini. Pengalaman melahirkan anak pertama dan kedua sungguh berbeza. Jika dikutkan, ramai yang akan menjawab yang melahirkan anak kedua lebih mudah daripada anak pertama. Tetapi tidak bagi saya hehe. Semasa melahirkan anak pertama, alhamdulillah Allah memudahkan proses kelahiran. Tetapi semasa berpantang, saya kerap demam dan bengkak susu tidak seperti berpantang kali kedua.

Saya melahirkan anak kedua pada 19hb Disember 2015 yang dinamakan Alesha Safaira Binti Ahmad Abul Kalam. Pada hari entri ini ditulis, Alesha baru berusia 89hari. Saya mula berasa sakit sehari sebelum Alesha dilahirkan. Tanda kelahiran pada kali ini pun berbeza daripada pertama kali melahirkan si abang dulu. Kali pertama dulu, tandanya pecah air ketuban. Tapi kali ini saya keluar darah.

Saya dimasukkan ke dalam wad di Hospital Besar Nur Zahirah,Kuala Terengganu ini. Masa tu bukaan baru 2cm. Semalaman duduk di wad, saya dah tak rasa sakit pulak. Cumanya contraction je tupun tak sekerap mana. Sementara menunggu suami yang dalam perjalanan dari Gambang, saya banyak berdoa agar suami sampai sebelum saya dimasukkan ke dalam labour room.

Semalaman di wad, saya rasa tak sakit sangat. Kadang terfikir betulkah sudah sampai masa nak bersalin ni hahaha. Tak seperti masa beranak kali pertama dulu. Malam tu boleh pulak tidur dengan lenanya dan akhirnya pada pukul 5.20pagi,nurse minta saya untuk ke bilik pemeriksaan untuk cek bukaan. Terkejut saya apabila nurse beritahu yang bukaan dah 6cm! Saya tak percaya sebab saya tak rasa sakit sangat. Nurse cepat-cepat menyuruh saya bersedia untuk dihantar ke labour room. Saya terus call suami untuk tunggu di sana sebab memang nak sangat suami teman. Hehe masa kali pertama dulu,suami tak sempat teman saya dalam labor room. Jadi,kali ini nak sangat kekuatan dari suami.

Sampai kat labour room, masa tu saya boleh tersenyum lagi. Nurse dan doktor siap puji lagi saya cool je katanya. Yelah masa tu saya tak percaya dah nak bersalin kalau diikutkan dengan tak berapa sakit lagi hehe. Tapi sebaik sahaja doktor memecahkan air ketuban, masa tu barulah terasa sakit apetah lagi 3jam duduk dalam labour room untuk tunggu bukaan tapi masih 6cm. Alhamdulillah, mintak nurse panggilkan suami yang dah menunggu di luar. Nak suami ada di sisi untuk bagi kekuatan. Masa tengah sakit tu, terbayang macam mana kalau aku mati lepasni! Sedih sangat. Rasa insaf sedih sebab banyak lagi dosa. Cakap kat suami "kalau syg mati,abg jaga anak kita". Sedih sangat. Suami genggam tangan,kucup tangan bagi kekuatan.

Tiba-tiba sekumpulan doktor bergegas datang kat tempat saya. Katanya ada masalah pada jantung bayi. Memang tak boleh tunggu lama dah. Doktor cek bukaan masih lagi 6cm. Hanya Allah yang tahu perasaan saya dan suami. Hati tak putus-putus berdoa. Doktor paksa untuk teran tetapi tak berjaya. Oleh disebabkan jantung bayi semakin lemah, doktor cadangkan untuk dibedah! Terus saya setuju untuk dibedah. Sepantas kilat nurse dan doktor menolak saya ke dewan bedah. Suami tunggu di luar dewan bedah.

Alhamdulillah Allah Maha Besar. Sampai je di bilik bedah, saya terasa seperti nak meneran terus bagitahu doktor bedah. Alhamdulillah di atas katil bedah yang sempit itu, saya selamat melahirkan bayi perempuan saya dengan normal! Dan bayi saya dalam keadaan sihat alhamdulillah! Menangis saya sebaik saja mendengar suara bayi. Memang pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

Setelah disahkan ibu dan bayi tiada apa-apa masalah, kami dibawa keluar untuk ke wad. Tak sabar untuk berjumpa suami yang setia menunggu di luar. Kesian pulak suami tak dapat lihat sendiri proses kelahiran anak kami hehe. Suami kata tak apelah asalkan semuanya selamat. Hehe.

Ini kisah pengalaman saya. Banyak pengajaran yang saya dapat. Terasa macam hampir dengan kematian. Hanya Allah saja yang tahu. Ya Allah, aku bersyukur pada Mu. Masih memberi ruang untuk aku bertaubat! Alhamdulillah.

Sekian untuk kali ini. InsyaAllah berjumpa di entri seterusnya ya!

Assalamualaikum w.b.t