Halaman

Isnin, 21 Mac 2016

HUBUNGAN JARAK JAUH SUAMI ISTERI

Entri 3

Teks: Siti Rabiatul Adawiyah Bt Ismail

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah,dengan izin Allah SWT, saya berpeluang untuk merasai pengalaman pahit manis hubungan jarak jauh bersama suami. Saya dan suami berkahwin di usia 26 tahun,di mana pada awal perkahwinan kami, suami tinggal di Dungun, Terengganu manakala saya di Kemaman, Terengganu. Masing-masing tinggal di kediaman sewa syarikat bersama kawan-kawan.

Sekali seminggu kami akan berjumpa. Perjalanan suami ke tempat saya mengambil masa lebih kurang 2 jam, dan ke kampung kami di Kuala Terengganu mengambil masa selama 3 jam. Kebetulan saya bunting pelamin, jadi suami memang terpaksa ambil saya terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung. Kadang-kadang kami hanya tinggal di hotel di Kemaman. Jika balik ke kampung, seawal pukul 4pagi kami terpaksa bertolak pulang ke Kemaman dan ini amat memenatkan. Apabila dikenang sekarang, terasa satu pengalaman yang cukup indah buat kami.

Walaupun berjauhan dengan suami, Allah kurniakan saya kawan-kawan serumah dan sekerja yang sangat memahami diri ini. Merekalah yang menjaga saya. Berkongsi suka dan duka dengan saya. Banyak memberi semangat kepada saya. Alhamdulillah walaupun hamil, saya tiada masalah kesihatan yang serius dan boleh membawa diri dan berdikari.

Selepas saya melahirkan anak, pada mulanya saya mahu berhenti kerja dan tinggal di kampung saja. Tetapi rezeki saya masih ada, majikan saya bersetuju menempatkan saya di projek perumahan yang hanya 30 minit dari kampung saya. Dan ya,saya dan suami masih lagi berjauhan. Beberapa bulan kemudian, suami dihantar ke Puchong untuk projek di sana pula. Semasa suami di Puchong, kami hanya berjumpa 2 minggu sekali sahaja. Ya betul,saya menunggu saat saja untuk saya berhenti kerja dan tinggal bersama suami. Sebab bagi saya, kerjaya boleh dicari. Keluarga mesti diutamakan. Saya sedih melihat anak sulong yang selalu rindukan papanya.

Memang pengalaman jarak jauh ini perlukan kekuatan, kepercayaan serta kejujuran dengan pasangan dan banyak lagi perkara yang tidak dapat digambarkan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berpindah di tempat suami. Dan akhirnya kami berpindah. Betapa bersyukurnya saya kerana dapat juga merasa kehidupan dan melakukan tugas sebagai isteri setiap hari. Setahun kami tinggal bersama di Puchong, suami pula dihantar ke projek Gambang, Kuantan. Beginilah lumrah isteri seorang jurutera projek yang memang sedar bahawa tempat kerja suami sentiasa berubah dan saya memang kena sentiasa bersedia.

Memandangkan Gambang dan Kuala Terengganu hanya mengambil masa selama 2 jam saja, jadi kami tidak tinggal bersama. Saya dan anak-anak tinggal di kampung. Lagipun kami telah membeli sebuah rumah di Marang, Terengganu. Dan saya pula sekarang tidak bekerja dan boleh menjaga anak-anak sepenuh masa. Lagipun sekarang suami dapat pulang seminggu sekali.

Harapan saya, saya berharap juga yang suami dapat bekerja di kampung halaman dan kami dapat tinggal bersama lagi. Kami dapat bersama-sama membesarkan anak sendiri. InshaAllah, semoga Allah makbulkan harapan ini. Amin.

Jumpa lagi di entri seterusnya. Sekian, Terima kasih.

Assalamualaikum WBT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan