Halaman

Jumaat, 26 Februari 2016

KENALI PENULIS

Entri 1
Teks : Siti Rabiatul Adawiyah Binti Ismail

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, dengan izinNya dapat juga saya mencuri sedikit masa untuk memperkenalkan diri ini. Nama saya Siti Rabiatul Adawiyah Binti Ismail. Saya berasal dari Kuala Terengganu. Saya merupakan anak pertama daripada 7 orang adik beradik, berumur 30 tahun, telah berkahwin dan mempunyai 2 orang cahayamata(seorang lelaki dan seorang perempuan).

Kisah persekolahan saya bermula di tadika PASTI pada usia 5 tahun. Selepas itu, saya menyambung persekolahan ke peringkat rendah di sekolah yang berhampiran dengan rumah keluarga saya iaitu Sek. Keb. Gong Tok Nasek sehingga darjah 6 seterusnya ke peringkat menengah di SMK Bandar, Kuala Terengganu sehingga tingkatan 3 sahaja. Minat saya terhadap bidang teknikal mendorong saya melanjutkan pelajaran tingkatan 4 di SMK Teknik Terengganu. Saya memilih kos kejuruteraan awam. Selepas tamat persekolahan, saya melanjutkan pelajaran dalam kos Diploma Bangunan selama 3 tahun seterusnya menyambung ke peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Pembinaan selama 2 tahun di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Sebaik sahaja tamat dari pengajian, saya bekerja sebagai seorang jurutera tapak di sebuah syarikat kontraktor di Kuala Terengganu. Setahun memegang jawatan tersebut, saya diserap ke bahagian perumahan sebagai Pegawai Operasi Perumahan. Setelah beberapa tahun berkhidmat di syarikat tersebut, saya mula berhijrah ke daerah Kemaman pula dan bekerja sebagai Eksekutif Jualan dengan syarikat pemaju perumahan. Selepas melahirkan anak pertama, saya dinaikkan pangkat kepada Senior Eksekutif Jualan serta dapat berkhidmat kembali di kampung halaman di Kuala Terengganu.

Sejak dari awal perkahwinan, saya dan suami terpaksa tinggal berjauhan disebabkan kerjaya masing-masing. Kerjaya suami sebagai jurutera projek di Puchong dan beliau menetap di sana memaksa kami berjumpa 2 minggu sekali sahaja. Oleh kerana kasihankan anak yang selalu rindukan papanya dan suami yang keletihan kerana terpaksa berulang alik dari Puchong- Terengganu, akhirnya saya berhenti kerja dan berpindah ke Puchong.

Setelah menjadi surirumah sepenuh masa, saya mencuba pelbagai jenis perniagaan untuk mengisi masa terluang seperti menjual produk Shaklee, Larome, keropok lekor Terengganu dan seluar palazzo tetapi semuanya tidak menampakkan hasil seperti yang dikehendaki. Mungkin sikap saya yang tidak konsisten dalam berusaha dan kekurangan ilmu. Sebenarnya, di awal saya berhenti kerja, saya masih menyimpan hasrat untuk bekerja kembali, tetapi perancangan Allah lagi hebat. Saya disahkan mengandung anak kedua. Setelah berbincang, suami menasihati saya untuk tidak bekerja buat sementara waktu. Setelah lebih setahun menjadi surirumah, kini saya agak keberatan untuk tinggalkan anak-anak jika bekerja. Jadi, kembali berniaga secara serius perlu dimulakan untuk membantu meringankan beban suami di samping dapat mendidik anak-anak dengan tangan sendiri.

Dengan izin Allah, saya mendaftarkan diri dalam keluarga besar ABDR dibawah kelolaan Cikgu Anys Idayu Zakaria. Hasrat saya semoga saya lebih konsisten dan fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Selain itu, semoga dengan ilmu yang saya dapat dalam kelas penulisan blog ini memudahkan saya untuk sama-sama berusaha ke arah yang lebih baik demi keluarga, agama dan masyarakat, insyaAllah.
Sekian.

Assalamualaikum w.b.t